14 February 2011
Selamat Menyambut Maulidur Rasul
Selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., penghulu segala Rasul, pembawa rahmat seluruh alam.
Setiap tahun aku dan korang semua memperingati kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Ini adalah sebagai kenyataan akan kasih dan sanjungan aku terhadap Baginda serta perjuangan dan pengorbanan Baginda. Perjuangan Baginda tidak berhenti dengan wafatnya Baginda. Sebaliknya ia diteruskan oleh agama Islam sehingga agama yang mulia ini dianuti oleh lebih satu bilion manusia di seluruh dunia sekarang ini. Dengan mengingati dan menyambut Maulidur Rasul, umat Islam sebenarnya memperbaharui azam untuk mengembangkan lagi agama yang diwahyukan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Agama Islam yang dibawa dan dikembangkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah addin atau cara hidup. Kesan cara hidup Islam yang jelas sekali ialah perubahan yang berlaku kepada kaum Arab Jahiliah. Daripada bangsa yang mempunyai budaya yang primitif, yang sanggup membunuh anak sendiri, yang menyimpan berpuluh isteri, yang terlalu taksub dengan kabilah-kabilah mereka sehingga mereka tidak berhenti-henti berperang sesama sendiri, yang suka dipuji dan mempunyai sifat-sifat keji yang lain, Arab Jahiliah ini bertukar menjadi umat Islam yang bertamadun tinggi, yang berjaya menguasai berbagai-bagai ilmu dan dapat mendirikan sebuah empayar yang terbesar di dunia. Jelaslah cara hidup Islam boleh membawa kebahagiaan kepada penganutnya. Inilah yang harus kita ingati apabila kita menyambut Maulidur Rasul.
Pada hari kita menyambut Maulidur Rasul hendaklah kita mengingati diri kita betapa tidak menyeluruh pegangan kita kepada ajaran Islam. Jika hari ini kita tertekan, dihina dan dijajah secara langsung atau tidak langsung, sebabnya ialah kerana kita tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup. Ramai daripada kita yang menganggap Islam sebagai bekalan untuk maut semata-mata, bekalan untuk akhirat. Yang malangnya ialah bekalan itu mungkin tidak mencukupi kerana kita telah meninggalkan sebahagian besar daripada ajaran Islam seperti yang terdapat dalam al- Quran. Apakah tempat kita di akhirat jika kita hanya mengamalkan separuh sahaja daripada ajaran Islam? Apakah kita tidak bersalah jika kita mengenepikan, bahkan menolak bahagian kita di dunia sepertimana yang dituntut daripada kita?
Jika pada hari kita menyambut Maulidur Rasul kita dapat memperingati diri kita akan perjuangan Nabi dan kita jadikan perjuangan ini sebagai teladan untuk cara hidup kita, maka perayaan ini akan menjadi lebih berguna dan bermakna. Tidak akan sia-sialah sambutan ini kepada kita dan kepada umat Islam amnya.
Islam mengajar aku untuk berlapang dada apabila menghadapi sesuatu kesusahan dan kesempitan. Tidak semua cita-cita dan impian akan dapat dicapai dalam sekelip mata. Tetapi usaha dan tekad mestilah diteruskan sehingga kejayaan dicapai. Suasana kegawatan ekonomi yang melanda negara kita sekarang ini telah mengajar kita untuk menginsafi diri untuk lebih bertenang dan bertindak secara positif dan berwawasan. aku masih bersyukur kerana kegawatan yang berlaku tidaklah separah negara-negara lain yang ditimpa berbagai-bagai bala bencana seperti rusuhan, peperangan, bencana alam dan sebagainya. Sekurang- kurangnya kesusahan yang kita hadapi sekarang ini dapat menginsafkan diri aku terhadap kebesaran Allah Subhanahu wa Ta'ala dan berdoa kepada-Nya agar segalanya dapat dipulihkan seperti sediakala.
Akhir kata aku gunakan kesempatan untuk menyambut Maulidur Rasul ini dengan melipatgandakan usaha dan ikhtiar agar segala permasalahan dapat diselesaikan. Berdoa dan menghindarkan diri aku daripada sikap-sikap negatif seperti tamak haloba, rasuah, pecah amanah, hilang sabar dan sebagainya. Apa yang lebih penting adalah aku menggunakan peluang yang ada untuk terus mempertingkatkan daya kreativiti aku untuk memajukan agama, bangsa dan negara aku sendiri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment